Panduan Penjagaan Anak Arnab yang Baru Dilahirkan.
- Anak arnab yang baru lahir tidak mempunyai bulu, buta dan pekak. Bulu akan mula tumbuh pada umur seminggu. Sementara mata dan telinga akan berfungsi pada hari ke 7 hingga ke 10.
-Pada masa ini makanan utamanya ialah susu ibu. Sehinggalah pada umur 14-16 hari, anak arnab akan keluar dari kotak sarang dan mula cuba makan makanan ibunya.
- Bagi arnab yang melahirkan anak buat kali pertama, kebanyakan anaknya akan mati. Perkara ini merupakan perkara yang sering berlaku kepada arnab yang menjadi ibu buat kali pertama. Hal ini kerana ia masih belum berkemampuan untuk menjaga anak-anaknya secara menyeluruh. Kelahiran berikutnya akan menjadi lebih baik.
- Pastikan arnab yang baru lahir mendapat susu secukupnya daripada ibu arnab.
- Si ibu harus diajar cara untuk menyusukan anaknya. Dalam keadaan ini, pemilik arnab perlu membaringkan ibu arnab di atas riba (sambil menghadap mukanya). Kemudian, letakkan seekor anak arnab di atas perut ibu arnab sambil menyuakan mulut anak arnab pada puting susu ibu arnab. Lakukannya selama 10-15 minit atau sehingga anak arnab itu merasa kenyang.
- Puting susu akan dilepaskan oleh anak arnab dan ia akan tertidur dengan sendirinya di atas perut ibu arnab apabila ia sudah kenyang. Langkah yang sama dilakukan ke atas anak-anak arnab yang lain.
- Selepas itu, ibu arnab akan mula menyusukan anaknya dengan sendiri. Sebagai informasi tambahan, arnab merupakan haiwan yang bersifat pemalu. Sebagai contoh, ia tidak akan menyusukan anaknya jika dilihat oleh orang lain. Kebiasaannya, ibu arnab akan menyusukan anak-anaknya dua kali sehari iaitu pada tengah malam dan awal pagi. Pemilik arnab dinasihatkan untuk memantau anak-anak arnab secara kerap supaya dapat memastikan keadaan anak-anak arnab tersebut.
- Kami menyarankan supaya ibu arnab tersebut diberi alfalfa hay supaya dapat meningkatkan kadar pengeluaran susu.